SELAMAT MELAYARI BLOG MGC MUAR

Saturday, August 7, 2010

Adap perlu dalam kurikulum


Program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia perlu menjadi sisipan kepada kurikulum dalam pembelajaran seharian di sekolah, khususnya untuk mengukuhkan dan memantapkan pelajar dalam aspek penulisan karangan Bahasa Malaysia. Hal ini kerana program berkenaan tidak terikat kepada proses belajar dalam ruang lingkup bilik darjah , tetapi mendidik pelajar dengan pengetahuan semasa yang meluas, dikemaskinikan dan mengikut konteks semasa.


Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahara, Kluang, Tulos Sitor berkata, program ADaP mempunyai skop yang lebih luas dan menjangkau keperluan pengajaran dan pembelajaran di dalam sebuah bilik darjah.
''Malangnya, hanya segelintir sahaja yang tahu tentang kepentingan ADaP dalam erti sebenar falsafah pendidikan,'' katanya.
Tambah beliau: ''Akhbar Utusan Malaysia sebagai alat pengajaran dan pembelajaran dalam pengajaran guru sekolah ini telah dimulakan sejak 2005, namun penggunaannya belum meluas - hanya sebagai bahan rujukan namun selepas begkel ini (ADaP), penggunaanya akan diperluas.''
Kata Tulos, beliau akan mengusahakan supaya bengkel ADaP selepas ini dihadiri oleh guru sekolah itu dan jemputan sekolah berjiran.
Program ADaP di sekolah itu berlangsung dalam dua sesi. Sesi pertama untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), disusuli oleh calon Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Pada kedua-dua sesi, peserta didedahkan dengan konsep nilai tambah gaya ADaP Utusan Malaysia dalam penulisan karangan, khususnya yang berkaitan ciri umum akhbar, maklumat terkini, karangan bersumber, mempunyai isi, huraian, contoh, idea dan matang.
Isu semasa seperti pembangunan sukan, masalah remaja serta perpaduan melalui konsep 1Malaysia, menjadi asas kepada pembangunan sebuah wacana yang matang dan bersesuaian dengan pelajar yang berusia 17 tahun atau 15 tahun.
Pelajar 3S1, R. Harishanth, 15, berkata, setelah mengikuti ADaP dia dapat membuat karangan dengan 'betul' dan lebih bermakna.
''Saya boleh faham apa yang saya buat, tahu isu yang berlaku di sekeliling saya dan dapat menyatakannya dengan lebih baik melalui karangan bersumberkan akhbar,'' katanya.
Rakan sekelasnya, Ajiaa Nabihah Maslan, juga mengakui dia boleh membuat karangan dengan lebih baik selepas mengikuti ADaP.
''Teknik-teknik yang dikemukakan oleh penceramah dapat membantu saya ketika menggubah karangan,'' katanya.
Bengkel dan ceramah dikendalikan Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...