SELAMAT MELAYARI BLOG MGC MUAR

Thursday, June 3, 2010

Guru di pedalaman


SETELAH menonton beberapa tayangan video yang berkaitan dengan guru di pedalaman saya rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan dengan guru-guru terutamanya guru permulaan.

Rasa resah, gelisah atau takut mungkin dirasai oleh bakal guru yang akan dihantar ke kawasan pedalaman ekoran daripada pengumuman bahawa lebih ramai lagi guru akan di tempatkan di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun perasaan ini kian lama menjadi pudar dan bertukar seperti mana yang dicertiakan oleh guru-guru yang berada di sana.




Pengalaman seorang guru yang terpaksa bangun jam 2.30 pagi dan menaiki kereta api pada jam 3.30 pagi untuk ke sekolah atau menaiki bot selama 3 hari buat pertama kali untuk bertugas di sekolah yang ditempatkan merupakan di antara pengalaman yang pahit manis yang tidak dapat dilupakan oleh seorang guru dalam kehidupannya di kawasan pedalaman.

Sememangnya apabila surat tawaran yang menyatakan penempatan seseorang guru diterima, mereka yang ditempatkan di kawasan pedalaman akan mengalami sedikit tekanan. Perjalanan yang jauh meredah hutan rimba serta menongkah arus sungai yang deras menyebabkan berlakunya kejutan dan gangguan emosi.

Walau bagaimanpun perasaan ini telah bertukar dan bagaikan mimpi mereka berasa seolah-olah mereka berada di alam ghaib apabila ternampak bangunan yang tersergam indah di puncak bukit diselimuti awam putih dengan tiupan angin yang segar menyambut kedatangan mereka. Tidak terfikir pada fikiran mereka bahawa di tengah-tengah hutan belantara ini terdapat kehidupan yang unik, jauh daripada hingar bingar kota raya serta jauh daripada ancaman pencemaran udara.

Hati yang lara bertukar menjadi suka, jiwa tersisih daripada gundah gulana apabila melihat anak-anak kecil yang dahagakan ilmu manakala ibu bapa pula mengharap belas kasih guru mendidik, membimbing anak-anak mereka yang merupakan generasi baru, pembela anak bangsa.

Setelah sekian ketika berada di sana kesedaran mula membara di jiwa mereka. Apa itu penderitaan dan apa itu pengorbanan betul-betul dapat dijiwai dan dihayati apabila melihat kehidupan anak-anak kecil yang harus dibela untuk masa hadapan mereka.
Setiap onak dan duri bukan lagi menjadi penghalang, malah ia merupakan cabaran yang bukan hanya didengar melalui ceramah motivasi tetapi satu realtiti yang sedang mereka lalui. Mereka memahami tugas seorang guru yang bukan sahaja mengajar di bilik darjah tetapi menjadi pembimbing, pemimpin dan pendakwah ke arah mewujudkan modal insan yang berkualiti.

Persepsi bahawa menjadi guru sebagai pilihan akhir, mudah bekerja, mempunyai banyak masa telah dikikis dari minda mereka tetapi di sebaliknya menganggapkan profesion perguruan merupakan salah satu perjuangan ke jalan Allah yang amat diharap-harapkan oleh mereka di luar sana.

Bagi guru-guru yang berada di kawasan pedalaman ini sekalung tahniah buat mereka dan bagi mereka yang baru melangkah ke alam baru ini, sambutlah cabaran, percayalah di sebalik kesulitan dan kepayahan itu terdapat satu cahaya yang akan menyinari kehidupan ke arah menjacapai kejayaan.

GURU PERMULAAN oleh DR. ISMAIL ZAIN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...